Saturday, January 1, 2011

Bimbingan untuk Kanak-kanak Pintar Cerdas atau Seperior.

Adi Putra bin Abd Ghani, nama yang sinonim dengan kecerdikan dan kebijaksanaan apabila anak kecil ini berjaya menyelesaikan permasalahan matematik dan mencongak nombor yang bernilai tinggi serta mencipta kira-kira 200 formula matematik. Keupayaan permata milik
Abd Ghani dan pasangannya menyelesaikan permasalahan matematik seperti darab, bahagi, tambah dan tolak sepantas empat saat pada usia seawal enam tahun telah menarik perhatian seluruh masyarakat di negara ini. Kecerdikan Adi Putra dalam bidang matematik mengatasi rakan seusianya yang lain dan secara tidak langsung menempatkan beliau sebagai kanak-kanak pintar cerdas atau genius.

Persoalan yang ingin dilontarkan oleh penulis di sini ialah, di manakah tempat  yang seharusnya Adi Putra berada, memandangkan beliau memiliki tahap IQ yang jauh lebih tinggi berbanding rakan sebaya yang seusia dengannya. Adakah beliau perlu ditempatkan bersama-sama temannya yang lain di sekolah rendah, sedangkan beliau telah lebih dahulu menguasai aspek yang diajar di dalam kelas.  Menurut Holligworth (1942), kanak-kanak yang mempunyai darjah kecerdasan (IQ) yang tinggi daripada 150 didapati tidak dapat menyesuaikan diri dengan program pendidikan biasa.Ini kerana menurut Prof Madya Dr. Nik Azis Nik Pa (1999) apabila kanak-kanak pintar cerdas dan berbakat ini berada dalam sistem pendidikan biasa, dia bukan sahaja gagal untuk mencapai keputusan yang memuaskan tetapi mereka juga sering kali gagal untuk mencapai tahap prestasi yang dicapai oleh kebanyakkan rakan sebaya mereka.


Kita seharusnya memberi perhatian serius kepada keperluan generasi seperti ini sebagaimana kerajaan memberi tumpuan dengan menyediakan program khusus kepada pendidikan khas yang lain seperti sindrom, autisme, dan Orang Kurang Upaya (OKU). Sokongan terhadap kanak-kanak genius ini boleh diberikan dalam bentuk bantuan kewangan. Pelajar yang berbakat dan berkelayakan tetapi mempunyai kedudukan kewangan keluarga yang terhad menghalang beliau meneruskan pembelajaran di peringkat yang lebih jauh lagi. Dengan peruntukan kewangan yang diberikan oleh pihak berwajb membolehkan pelajar ini mengembangkan potensi diri sedia ada. Selain itu, khidmat nasihat perlu diberikan kepada pelajar cerdik ini. Bimbingan dan galakan yang diberikan kepada golongan istimewa ini  dapat membantu mereka menentukan halatuju dan matlamat perjalanan hidup mereka supaya selari dengan kehendak masyarakat dan negara. Kanak-kanak cerdik seperti Adi Putra adalah harapan negara supaya lahir menjadi tenaga kerja yang  menjadi penyumbang kepada perkembangan dan kemajuan negara.

Disamping itu, kajian yang lebih teliti perlu dijalankan untuk mengenalpasti kurikulum terbaik yang sesuai untuk kanak-kanak cerdik dan pintar ini supaya kebolehannya dapat dibentuk selaras dengan bakat mereka dan keperluan negara. Selain itu, teknik pembelajaran yang sesuai untuk kanak-kanak cerdik ini perlu dibina. Menurut O’Boyle, Michael W (2008), kanak-kanak pintar cerdas dalam matematik mengalami perkembangan pesat himesfera kanan otaknya. Oleh itu, metod pembelajaran yang sesuai ialah menggunakan visual antaranya aktiviti di dalam kelas yang banyak menggunakan imej dan gambar.

Kesimpulannya, kanak-kanak yang dilahirkan secara semulajadi pintar dan cerdik merupakan golongan minoriti di negara ini mahupun di seluruh dunia. Keistimewaan yang dimilikinya menarik perhatian masyarakat dan dunia seterusnya meletakkan harapan yang tinggi supaya mereka mampu memberi sumbangan yang besar kepada dunia. Oleh itu, kita perlu menghargai anugerah  Tuhan ini dengan memberi bimbingan dan sokongan agar kehebatan dimanfaatkan dan berproduktiviti untuk agama, bangsa, dan negara.

No comments:

Post a Comment